Selasa, 29 Januari 2013

Adakah anda inginkan kemahiran di dalam Bahasa Inggeris?

Jika anda menjawab "Ya" maka teruskan membaca.

Bilangan Perkataan
"Apakah bilangan perkataan yang terdapat di dalam Bahasa Inggeris?" Ya, melebihi 400,000 perkataan. Bukan itu saja, bilangannya meningkat dari semasa ke semasa hinggakan ahli-ahli linguistik antarabangsa pun tidak dapat memastikan bilangannya yang tepat. Tahukah anda bahawa Teacher Zack sudah menyediakan untuk anda di dalam lingkungan 4,000 perkataan yang paling sering digunakan di dalam Bahasa Inggeris? Ya, 4,000. Jika Teacher Zack berterusan mengajar di dalam blog InfoInggeris satu perkataan setiap hari, sepertimana yang Teacher Zack sedang melakukannya sekarang, maka ia akan mengambil masa selama 10.5 tahun Masehi (bersamaan 11.3 tahun Hijrah) untuk menghabiskannya :) Itu baru 4,000 perkataan. Jika 400,000 perkataan berapa tahun agaknya nak habis ye?

Bilangan Jenis Frasa
Tahukah anda bahawa kesemua 400,000 perkataan-perkataan ini digunakan untuk membina frasa-frasa yang bilangan jenisnya amat sedikit? Kalau tak silap terdapat hanya tujuh jenis frasa di dalam Bahasa Inggeris iaitu noun phrase, verb phrase, adverbial phrase, adjectival phrase, participial phrase, prepositional phrase dan absolute phrase. Noun phrase pula boleh dibahagikan kepada tiga jenis frasa lagi iaitu appositive phrase, gerund phrase dan infinitive phrase. Ya, bilangan jenis frasa di dalam Bahasa Inggeris boleh dikira dengan jari!

Bilangan Jenis Ayat
Bilangan jenis ayat lagi mengagumkan sebab terdapat hanya empat jenis ayat di dalam Bahasa Inggeris iaitu declarative, imperative, interrogative dan exclamatory. Keempat-empat jenis ayat ini kemudiannya boleh dibahagikan pula kepada empat jenis klausa iaitu simple, compound, complex dan compound-complex. Itulah halnya mengenai jenis ayat, amat sedikit juga bilangannya.

Bilangan Masalah
Fikirkanlah, jika terdapat hanya sedikit bilangan jenis frasa atau ayat maka kenapakah masih terdapat ramai bilangan pelajar-pelajar Bahasa Inggeris yang masih 'merangkak' apabila membina frasa atau ayat? Takkanlah bilangan jenis frasa atau ayat yang sedikit itu pun tak dapat nak difahami dengan sepenuhnya, kan? Teacher Zack rasa masalahnya bukan terletak pada kemahiran membina frasa atau ayat tetapi terletak pada kemahiran pemahaman perkataan.

Matlamat Anda
Oleh itu, jika anda inginkan kemahiran di dalam Bahasa Inggeris maka pelajarilah dengan sebaik-baiknya mengenai jenis-jenis perkataan, ciri-ciri perkataan, bentuk-bentuk perkataan, sifat-sifat kelas perkataan, cara penggunaan perkataan, dan juga maksud-maksud perkataan. Itulah gunanya blog dan ebook InfoInggeris untuk anda.

Words are the building blocks of a language;
master the words and you've mastered the language.
- Teacher Zack